Tuesday, 12 April 2011

Gaya hiasan serlah personaliti

stail1Kontemporari
Kemas, Menonjol, Menyerlah, Berdimensi
Anda sentiasa mendahului, mendorong dan tidak takut kepada sebarang kemungkinan apabila berhadapan dengan stail. Garis-garis kemas dan ringkas sofa kulit anda digabungkan dengan warna-warna garang bantal balingnya. Corak hiasan anda yang progresif meraikan keperibadian dan pastinya tetamu anda akan bercerita seluruh pekan.
stail2Global
Rimbun, Eksotik, Kaya, Dunia Terdahulu
Hiasan global anda membawa keseronokan dan misteri dari tanah asing. Anda memenuhkan ruang sekeliling dengan elemen-elemen eksotik yang diperolehi dari seluruh dunia - dari bangku logam berukir mistikal sehingga kepada kusyen mewah dari sutera asli, ada saja adventure di setiap bilik.
stail3Tradisional
Elegan, Halus, Klasik, Kustom
Stail hiasan tradisional memang tidak akan ditelan zaman. Dari meja antik sehinggalah rug oriental, dalaman rumah anda berinspirasikan kecantikan masa lampau. Samada untuk makan malam yang istimewa ataupun majlis minum petang, anda memang sentiasa bersedia untuk mengeluarkan pinggan mangkuk china warisan dari nenda.
stail4Kasual
Santai, Mesra, Selesa
Selesa dan menambat hati. Kediaman anda adalah syurga, habitat yang menyenangkan berbanding kesibukan dunia di luar sana. Tidak ada yang lebih baik dari satu malam yang santai bersama rakan-rakan di atas sofa empuk, kaki di atas meja sambil menonton TV dan minum kopi.

Memilih Perabot Bilik Anak

Kepada anak-anak perabot bukan saja tempat menyimpan barang atau kemudahan hidup tetapi juga menjadi sebahagian dari dunia permainan dan imaginasi.
Namun sebelum membeli, kita sebagai orang dewasa harus bijak berfikir lebih dari seorang kanak-kanak. Memang ada banyak perabot yang merangsang imaginasi dan kegemaran si kecil, misalnya katil berbentuk kereta dan sebagainya.
Bagaimanapun anak anda membesar dengan cepat. Percayalah dalam tempoh yang singkat saja perabot seperti itu sudah tidak lagi sesuai untuknya.
Perabot anak-anak mesti praktikal dengan keperluan mereka.
Perabot anak-anak mesti praktikal dengan keperluan mereka.
Ada cara lain yang lebih pratikal dan murah untuk mendapatkan kesan keceriaan tersebut, misalnya gunakan cadar yang bertemakan sesuatu yang mereka gemari atau menambah aksesori-aksesori ceria yang lebih murah dan boleh ditukar pada bila-bila masa.
Untuk almari mereka, anda sebenarnya tidak perlu mencari yang bergaya dan mahal. Yang terpakai pun okay. Tapi pastikan ia lasak dan boleh dicat.
Cat almari anak-anak anda mengikut warna yang mereka sukai dan kemudian corakkan ia dengan menambah sticker atau apa saja yang mereka inginkan.
Ia pasti menjadi projek yang menyeronokkan dan dalam masa yang sama membantu menjana kreativiti. Bila citarasa mereka berubah anda boleh menukar warna atau menggubah aksesori-aksesori yang ada selaras dengan kemahuan dan keperluan baru anak anda.
Gunakan banyak rak dinding untuk meletakkan barangan peribadi seperti permainan dan buku anak-anak anda. Dengan cara itu mereka akan mempunyai ruang lantai yang lebih luas untuk bermain dan sebagainya.

Kediaman & Kehidupan

Rumah merupakan keperluan asas kehidupan kita.
Rumah merupakan keperluan asas kehidupan kita.
Rumah merupakan keperluan asas dalam kehidupan manusia. Ia menyediakan anda ruang keluarga dan peribadi yang terlindung dari persekitaran terbuka.
Rumah adalah pusat kehidupan. Sebahagian besar aktiviti anda, anda lakukan di rumah. Dan sebahagian besar keperluan, juga anda simpan di rumah.
Pendek kata rumah bukan saja berfungsi menampung diri anda, keluarga anda, kegiatan anda malah ia juga menampung 1001 macam benda dan kemudahan yang anda perlukan seperti pakaian, makanan, perabot, dapur dan berbagai-bagai lagi.
Untuk menikmati sebuah rumah yang benar-benar selesa dan menyeronokkan banyak perkara perlu dirancang dan diambilkira.
Keperluan terhadap ruang sentiasa berubah dan malah meningkat dari masa ke semasa. Manusia yang mendiaminya berubah. Kanak-kanak menjadi remaja, dewasa menjadi tua. Keperluan mereka juga akan berubah. Begitu juga trend hidup secara keseluruhannya.
RUANG TAMU
Ruang tamu merupakan ruang rasmi dalam sesebuah rumah khususnya ketika menyambut kedatangan tetamu.
Ruang tamu merupakan ruang rasmi dalam sesebuah rumah khususnya ketika menyambut kedatangan tetamu.
Ruang tamu sebagaimana namanya, merupakan ruang untuk anda menerima tetamu. Ia adalah ruang rasmi. Bagaimanapun dalam masyarakat kita, biasanya ruang tamu menjadi ruang di mana keluarga berkumpul, bermain dan menghabiskan masa.
Banyak rumah menjadikan ruang tamu sebagai tempat menonton TV (seperti di tunjukkan di gambar).
Kalau boleh, elakkan.
Rumah yang kecil misalnya, bukanlah alasan untuk anda menyalahgunakan ruang tamu.
Sebenarnya sentiasa ada jalan untuk anda mencipta ruang lain yang khusus untuk menonton TV dan aktiviti-aktiviti seumpamanya.
Jangan menurut sahaja apa yang dilakukan orang lain jika anda benar-benar mahu rumah yang unik, menarik serta praktikal.
Tetamu anda tidak mungkin akan dapat menghargai rumah anda jika objek utama yang ada di situ hanyalah sebuah set TV.
Jadikanlah ruang tamu anda satu ruang yang tenteram tetapi berkesan dalam menonjolkan keistimewaan dan keunikan anda sekeluarga.
DAPUR
Dapur perlu dirancang dengan teliti dari segi praktikal mahupun estetikanya.
Dapur perlu dirancang dengan teliti dari segi praktikal mahupun estetikanya.
Sebelum membina dapur anda harus pastikan betul-betul keperluan sekarang dan masa depan. Infrastruktur dapur moden bukanlah murah.
Oleh itu pastikan anda membuat perkara yang betul demi ketenangan hati anda untuk jangkamasa yang panjang.
Rancang ruang kerja utama di antara peti sejuk, sinki dan dapur memasak. Idealnya adalah untuk meletakkan setiap satu kemudahan tersebut dalam satu ruang berbentuk segitiga yang memadai untuk anda melakukan kerja memasak dengan selesa.
Anda juga harus tentukan di mana dan bagaimana perkakasan serta bahan-bahan memasak serta makan minum seharian diuruskan. Kemudian tentang perkakasan yang jarang digunakan pula.
Pastikan betul-betul di mana lokasi ideal masing-masing dan tentukan berapa banyak ruang yang anda perlu.
RUANG KELUARGA
Jika anda mampu mendapatkan rumah besar, membina ruang keluarga tidak menjadi masalah.
Bagaimanapun bagi penghuni rumah teres dan pangsapuri ia mungkin boleh diibaratkan sebagai satu kemewahan. Sebab itulah ruang keluarga bagi kebanyakan rumah adalah ruang tamu.
Sebenarnya anda sentiasa berpeluang mencipta ruang ini. Ia hanya memerlukan sedikit kreativiti dalam merekabentuk ruang dalam rumah anda.
Lengkapi ruang keluarga dengan perabot ringkas tetapi selesa.
Lengkapi ruang keluarga dengan perabot ringkas tetapi selesa.
Yang pasti keluarga anda tidak perlu ruang sebesar gelanggang tenis untuk menonton tv, membaca surat khabar dan bersembang kosong.
RUANG MAKAN
Ruang makan boleh menjadi fokus menarik jika diolah dengan betul.
Ruang makan boleh menjadi fokus menarik jika diolah dengan betul.
Pastikan ruang makan berada dekat dengan dapur. Dengan pemilihan perabot dan penataan warna, lampu dan perhiasan yang baik, ruang makan anda boleh menjadi satu tempat yang istimewa.
BILIK TIDUR
Bilik tidur sempurna jika ia dapat menempatkan katil tidur yang selesa di samping dilengkapi dengan ruang-ruang penyimpanan yang mencukupi untuk semua barangan peribadi milik anda khususnya pakaian.
Pastikan semua pakaian anda, baik yang bersih mahupun yang kotor atau yang sedang digunakan, akan mempunyai tempat masing-masing.
Selain itu bilik tidur juga perlu mempunyai ruang untuk bersiap diri. Misalnya bilik mandi yang lengkap dan ruang untuk berpakaian dan bersolek.
Selain itu anda mungkin inginkan bilik tidur yang mempunyai ruang bekerja, menonton tv dan sebagainya.
BILIK TIDUR ANAK
Sebagaimana bilik tidur anda, bilik tidur anak-anak anda juga perlu mampu menampung penyimpanan barangan keperluan mereka seperti pakaian dan permainan. Ia juga harus mempunyai ruang untuk mereka bersiap diri.
Memilih corak dan warna bilik tidur sangat menyeronokkan.
Memilih corak dan warna bilik tidur sangat menyeronokkan.
Lebih dari itu, bilik tidur anak-anak juga biasanya menjadi tempat di mana mereka belajar. Oleh itu kemudahan dan kelengkapan berkaitan perlu disediakan supaya mereka boleh belajar dengan selesa. Antara yang penting adalah meja dan kerusi serta rak untuk meletakkan buku dan segala macam peralatan belajar yang lain.
Satu cabaran yang biasa dihadapi dalam membina bilik tidur anak-anak adalah saiznya yang kecil. Kreativiti dan kesediaan untuk membina sesuatu di luar kebiasaan mungkin penyelesaian bagi mendapatkan bilik tidur yang lengkap, selesa dan menarik untuk anak-anak anda.
RUANG MEMBASUH
Pakaian adalah beban seharian yang tidak dapat anda elakkan. Sediakan satu ruang khas untuk membasuh pakaian lengkap dengan ruang penyimpanan, perkakasan dan mesin-mesinnya.
Jika boleh selain mesin basuh, dapatkanlah mesin pengering sekali. Ia pasti membantu menyelesaikan banyak masalah dalam menguruskan pembersihan pakaian anda.
STOR & RUANG PENYIMPANAN KHUSUS
Akhir sekali, pastikan anda mempunyai ruang untuk dikhususkan bagi menyimpan beberapa perkakasan bertukang yang asas, tangga atau barangan lain seperti pasu yang tidak digunakan, tong cat dan sebagainya.

Mengenali & Memahami Cat

Sebelum membeli cat, pastikan ia sesuai dengan skim warna yang anda ingini. Bandingkannya dengan sampel langsir atau karpet. Lebih baik lagi jika anda uji terus ke dinding anda. Bagi tujuan itu belilah setin yang paling kecil.
Cat cenderung kelihatan lebih gelap apabila sudah disapu di dinding, jadi jika anda ragu ‘tone’ yang mana harus dibeli, pilih yang lebih pucat. Lagi satu, warna cat berbeza mengikut ‘batch’ jadi apabila membeli pastikan semua tin mempunyai nombor ‘batch’ yang sama.
Terdapat dua jenis cat yang utama. Kedua-duanya bersifat cair. Selalunya dikenali sebagai cat berasaskan minyak (gloss) untuk kayu atau logam, dan yang berasaskan air (emulsion) untuk dinding dan siling.
Ada pelbagai jenama cat yang boleh anda pilih. Yang penting anda tahu spesikasi cat yang anda perlukan.
Ada pelbagai jenama cat yang boleh anda pilih. Yang penting anda tahu spesikasi cat yang anda perlukan.
Cat minyak mesti dimulakan dengan cat asas atau ‘undercoat’ terlebih dulu.
Cat emulsion tidak perlu ‘undercoat’ tetapi ia perlu disapu dua atau lebih kali di atas sesuatu permukaan bagi memadamkan warna permukaan asal. Lapisan pertama cat emulsion bertindak sebagai ‘undercoat’.
Jenis yang kedua - dirumus khas untuk yang baru belajar - adalah cat tidak menitis yang juga digelar takut-leleh, jeli atau cat satu lapisan.
Cat ini kelihatan seperti jeli dan menjadi cair apabila disapu di atas permukaan. Kemudian ia bertukar menjadi jeli semula dan oleh itu tidak menitis atau meleleh.
Cat ini baik kerana ia lebih pekat dari cat biasa serta sedia mengandungi ‘undercoat’ di dalamnya. Oleh sebab itu walaupun harganya lebih mahal tetapi dalam jangkamasa panjang ia berbaloi.
Cat emulsion tidak menitis juga terdapat dalam bentuk pejal. Bagi cat pejal, pengelek yang digunakan akan menyerap cat secukupnya untuk diaplikasi. Kerana tidak menitis, ia sangat sesuai untuk mengecat siling.
Jangan sesekali mengacau cat tidak menitis sebelum digunakan walaupun ia nampak berketul di dalam tin. Jika ia cair kerana telah digoncang atau dikacau secara tidak sengaja, biarkan ia kembali ke bentuk asalnya sebelum digunakan.
Lapisan cat paling atas (final coat/topcoat) - boleh diakhiri dengan cat gloss, semi-gloss atau matt. Nama lain bagi semi-gloss adalah seperti mutiara, sutera, satin dan sebagainya bergantung kepada suka hati pengeluar cat.
Semakin ‘glossy’ cat yang digunakan semakin kuat dan tahan permukaan yang dikenakan. Cat juga lebih kuat dan tahan-cuaca apabila mengandungi resin sintetik seperti polyurathane.
Ada cat mengandungi aditif yang menjadikan ia lebih tahan api. Cat seperti ini membantu menahan api dari merebak dan kualiti itu menjadikan ia sesuai untuk digunakan ke atas permukaan atau bahan mudah terbakar seperti kayu dan sebagainya.

Tentang bilik air


Bilik air yang luas merupakan satu kemewahan.
Bilik air yang luas merupakan satu kemewahan.
Bilik air merupakan suatu ruang yang amat penting. Ia menyediakan kemudahan bagi seseorang membersihkan diri. Ia merupakan ruang peribadi dan perlu direka untuk keselesaan dan ketenangan. Sebagaimana ruang-ruang yang lain, rupabentuk bilik air berbeza selaras dengan kemampuan dan citarasa pemiliknya.
Biar bagaimana keadaannya, ia tetap suatu ruang yang memerlukan perancangan teliti lagi mendalam. Bagi keluarga yang besar, pastikan rumah anda mempunyai bilangan bilik air sepadan dengan bilangan orang yang mendiaminya bagi mengelakkan perbarisan panjang waktu pagi di samping mengurangkan kadar kerosakan.
Jika ruang bilik air anda cukup luas, pasang sekatan untuk ruang mandi dan tandas. Namun jika anda mempunyai ruang bilik air kecil, pastikan sekurang-kurangnya anda memiliki pancuran mandi, sinki membasuh, mangkuk tandas serta lain-lain kemudahan untuk menyimpan pelbagai keperluan pembersihan dan higenik anda.
Anda boleh menggunakan tab mandi jika mahu dan mempunyai ruang lebih. Jika dipasang ia akan menjadi titik tumpu dalam bilik air anda. Untuk menjadikannya menarik, kemaskan ia sejajar dengan senihias keseluruhan ruang berkenaan. Tab mandi dijual dengan bentuk dan saiz yang berbagai jadi tidaklah susah untuk mencari satu yang sesuai.
Lekapan dan lengkapan bilik air bukan murah dan tidak mudah dialihkan selepas ia selesai dipasang. Sebab itulah perancangan rapi perlu sebelum pemasangan dilakukan bagi mengelakkan keperluan pengubahsuaian yang sukar dan mahal. Bahan-bahan yang digunakan mestilah tahan lasak dan telap air.
Bagi menjaga hiasan dan menghalang resapan, permukaan sudut semua benda yang dipasang di bilik air perlu dikedap menggunakan produk kedapan yang sesuai. Sebagaimana bilik-bilik lain di dalam rumah, ruang penyimpanan adalah isu utama di bilik air.
Jika tidak disediakan secukupnya, produk-produk mandian dan pembersihan diri akan berselerakan di segenap penjuru. Oleh sebab itu rancang dan sediakanlah kemudahan tersebut sebaik-baiknya. Terdapat banyak pilihan bagi kemudahan penyimpanan di bilik air seperti kabinet, almari, rak dan sebagainya di dalam pasaran. Apa yang anda perlu buat adalah cari yang sesuai untuk kegunaan anda.
Cahaya dalam bilik air perlu menyeluruh tetapi tidak menyilaukan. Lampu dinding yang ringkas adalah sesuai dan memadai untuk keperluan pencahayaan di bilik air. Pastikan juga ia membantu dari aspek seni hiasan.
Semua pendawaian dan peralatan lampu serta lain-lain perkakasan elektrik di dalam bilik air mestilah dari produk yang berkualiti dan mendapat kelulusan pihak berkuasa. Kerja pemasangan juga perlu dipastikan kemas bagi mengelak kebocoran arus elektrik. Semua suiz mesti dipasang di sebelah luar demi keselamatan.
Jika anda menggunakan jubin sebagai lantai, penggunaan lapik lantai basah mungkin penting. Dengan jumlah air yang banyak di lantai, lapik lantai basah akan melenyapkan risiko licin dan ini adalah baik untuk keselamatan semua.

Beberapa Panduan Asas Landskap

Dalam arkitektur, bidang landskap bermaksud sains dan seni mengubahsuai kawasan dengan menyusunatur sesuatu yang semulajadi termasuk penanaman atau pembinaan elemen-elemen secara terancang dalam suatu plan komprehensif.
Landskap membabitkan elemen-elemen topografi seperti bukit bukau, lembah, sungai dan kolam atau penanaman pokok, rimbunan hijau, rumput, bunga dan sebagainya.
Seni landskap merupakan pengolahan elemen semulajadi dan buatan secara harmoni.
Seni landskap merupakan pengolahan elemen semulajadi dan buatan secara harmoni.
Pendek kata, projek landskap di ruang terbatas seperti halaman rumah adalah satu percubaan untuk mencipta dan menggabungkan beberapa unsur alam yang istimewa pada skala lebih kecil dan terkawal.
Kerja lanskap memang sudah menjadi amalan sejak dulu. Namun pendedahan terhadap konsep-konsep atau seni-seni landskap dari budaya-budaya berlainan, menjadikan ia satu bidang yang lebih menarik.
Lanskap yang direka sesuai dan mendokong kediaman secara keseluruhan pasti akan memberikan kepuasan yang dihajati.
PANDUAN MENYEMPURNAKAN LANDSKAP DIY
Sebagaimana yang telah dikatakan tadi, landskap dan kediaman perlu mendokong antara satu sama lain.
Untuk mencapai keharmonian tersebut, anda perlu menimbang dan menimbang pilihan-pilihan yang ada bagi mendapatkan landskap yang benar-benar hebat dan praktikal.
Penyusunan tanaman sangat penting dalam seni landskap.
Penyusunan tanaman sangat penting dalam seni landskap.
Gabungan lanskap lembut dan lanskap kejur menyempurnakan laman anda.
Ada beberapa aspek dalam pembinaan landskap secara D-I-Y seperti bajet, kemahiran, iklim, persekitaran, citarasa peribadi dan sumber-sumber yang ada.
Jika anda benar-benar mahu memperindahkan kediaman anda dengan ciptaan landskap sendiri, berikut adalah beberapa tip yang boleh membantu.
  • Pastikan konsep landskap yang ingin anda terapkan sesuai dengan konsep keseluruhan kediaman anda. Ada banyak konsep landskap yang sesuai dengan iklim, persekitaran mahupun budaya kita. Misalnya konsep Bali, Tropika, Melayu, Oriental, Jepun dan sebagainya.
  • Pastikan konsep landskap pilihan anda itu selari dengan rekabentuk rumah dan corak hiasan dalaman rumah anda bagi mencetuskan perasaan serta pandangan yang harmoni.Jika anda menanam gugusan pokok atau bunga-bungaan, pastikan ia disusun mengikut lapisan ketinggian mereka. Pokok yang paling tinggi perlu ditanam di bahagian belakang, sederhana tinggi di bahagian tengah dan renek di bahagian hadapan. Ia bukan sahaja bagi membolehkan anda nampak semua tanaman anda, bahkan jika mereka mengeluarkan bunga, anda akan dapat melihatnya dalam susunan yang menarik.
  • Jangan takut untuk memiliki landskap yang mengandungi unsur air. Bahagian landskap basah selalunya mengundang tumpuan dalam sesebuah rekaan landskap. Ia bukan sahaja menarik pada pandangan mata, malah bunyi percikan air mampu mencipta suatu suasana yang nyaman dan menenangkan. Landskap basah yang paling asas adalah dalam bentuk kolam.Bagaimanapun lebih menarik jika ia dilengkapi pancuran atau terjunan air. Yang ringkas pun sudah memadai. Anda boleh gunakan bahan-bahan yang telah siap dijual atau membina sendiri sesuatu berdasarkan kreativiti serta kemampuan yang anda miliki. Semua bahan atau keperluan membina landskap basah boleh diperolehi dengan mudah di kedai-kedai hardware atau di kedai-kedai akuarium.
  • Pastikan landskap yang anda reka dan bina itu tahan serta mudah diselenggarakan. Misalnya, pilih pokok-pokok yang bukan dari jenis cepat mati atau terlalu manja untuk dijaga. Begitu juga pastikan binaan hardscape anda tahan lasak untuk menangani beban penggunaan dan faktor cuaca. Kalau boleh penyelenggaraan landskap biarlah lebih bermaksud mengawal atau mencorakkan pertumbuhan dan bukan kerana terpaksa membaiki bermacam-macam kerosakan atau menggantikan pokok mati.


Petikan di ambil dari Senihias.com

Sunday, 10 April 2011

Faktor penentu kos sebuah kabinet dapur

Kos membina kabinet dapur dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti berikut:-
  • Saiz binaan
  • Bahan dan kemasan
  • Rekabentuk
  • Aksesori
  • Kos kontraktor
Saiz Binaan
Lebih besar saiz binaan dapur anda tentulah lebih besar juga kos membinanya. Misalnya dapur berbentuk L bersaiz 10 kaki x 10 kaki tentulah secara lateralnya akan lebih mahal dari dapur L bersaiz 7 kaki x 7 kaki. Ini kerana penggunaan bahan, buruh dan jangkamasa berkadar terus dengan peningkatan saiz binaan. Begitu juga dengan kos-kos lain. Misalnya kos pengangkutan, penggunaan mesin jentera dan sebagainya.
Bahan & Kemasan
Bahan binaan dan kemasan kabinet dapur yang dipilih juga memainkan peranan dalam menentukan kos. Badan kabinet yang dibina menggunakan kepingan chipboard tidak sama dengan badan kabinet yang dibina dengan ply bertetulang. Worktop konkrit, solid surface, chipboard, kayu atau granite pun berlainan harga. Pintu-pintu kabinet juga boleh menggunakan pelbagai bahan serta kemasan. Chipboard atau melamine board dengan ABS merupakan antara pilihan yang paling murah. Bagaimanapun harga akan meningkat apabila menggunakan bahan dan kemasan yang lebih kukuh dan berkualiti seperti ply laminasi, kayu solid, kaca, aluminium, stainless steel dan sebagainya.
Rekabentuk
Rekabentuk kabinet dapur berbeza-beza mengikut keperluan dan citarasa seseorang. Ada yang memilih untuk memiliki dapur yang berekabentuk ringkas seperti kotak-kotak modular. Ada yang inginkan kabinet dapur mereka direka dengan ciri-ciri tertentu, misalnya dinding yang lebih lebar, bentuk yang unik, unit atas sampai ke siling, kabinet gantung dan sebagainya. Jika rumit rekabentuk yang dicipta maka tentu lebih mahal kos membinanya.
Aksesori
Selain dari binaan kabinet dapur asas, anda juga perlu memikirkan tentang aksesori-aksesori yang diperlukan bagi melengkapkan dapur supaya ia menjadi lebih praktikal dan benar-benar berfungsi sebagaimana yang diharapkan. Anda mungkin mahu kabinet dapur anda dilengkapi rak pengering pinggan, rak botol, bakul tarik untuk memudahkan pengurusan stok dan barangan. Selain itu anda mungkin juga inginkan kabinet anda dilengkapi lampu-lampu bina dalam, menggunakan ensel-ensel soft-close, berhandle cantik dan sebagainya. Semakin banyak aksesori yang anda aplikasikan ke dalam dapur anda, maka semakin besarlah belanja yang perlu dikeluarkan.
Kos kontraktor
Selain dari kos komponen kabinet dapur itu sendiri, anda juga perlu melihat kos-kos yang ditanggung pihak kontraktor. Misalnya kos overhead, kos buruh, kos pengangkutan, servis lepas jualan dan sebagainya. Kontraktor yang mempunyai overhead perniagaan yang besar dan berjenama mungkin akan memberi sebutharga yang sesuai dengan kedudukannya. Tukang atau buruh yang berkemahiran tinggi perlu dibayar lebih mahal dari mereka yang kurang berkemahiran. Jarak yang jauh juga akan menyebabkan kos pengangkutan meningkat. Bagi kontraktor yang memberi jaminan atau servis lepas jualan sejumlah peruntukan perlu disediakan untuk tujuan berkenaan.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, kos membina kabinet dapur anda bukan saja tidak akan sama dari rumah ke rumah tetapi dari kontraktor ke kontraktor kerana faktor-faktor yang disebutkan di atas. Ada sebab kenapa sesuatu itu mahal atau murah. Pada dasarnya tidak ada siapa yang akan menjual murah barang mahal dan tidak ada siapa akan membeli mahal barang murah. Secara universalnya kualiti dan harga sentiasa seiringan. Kata orang putih, “when you pay peanuts, you get monkeys”.

Petikan daripada Senihias.com

Ukuran-ukuran asas kabinet dapur dan perkakasan

Apabila anda merancang untuk membina sesebuah kabinet dapur perkara utama yang perlu anda ketahui adalah ukuran-ukuran asasnya. Sebenarnya pembinaan dapur moden sudah pun mempunyai set ukuran-ukuran asas yang dianggap sebagai standard. Dengan menuruti ukuran-ukuran standard ini, dapur kita bukan saja dapat diselaraskan untuk tujuan ergonomik tetapi ia juga mudah disesuaikan dengan perkakasan atau aksesori lain.
Berikut adalah antara ukuran-ukuran asas yang perlu anda ketahui. Sila rujuk Gambar 1 untuk memahami ukuran yang dimaksudkan.
Ketinggian-ketinggian
  • A - Ketinggian table top kabinet dapur dari lantai ke permukaan kerja: 34 inci
  • B - Ketinggian bar counter dari lantai ke permukaan bar: 42 inci
  • C - Ketinggian wall unit (kabinet atas) dari lantai bermula pada paras: 60 inci
  • D - Ketinggian wall unit (kabinet atas) yang standard: 24 inci
Kedalaman-kedalaman
  • E - Kedalaman table top kabinet dapur dari depan ke belakang: 24 inci
  • F - Kedalaman wall unit (kabinet atas) dari depan ke belakang: 12 inci
  • G - Kedalaman bar counter: 16 - 24 inci
Gambar 1: Rujukan untuk ukuran-ukuran asas yang dimaksudkan
Gambar 1: Rujukan untuk ukuran-ukuran asas yang dimaksudkan
Anggaran ukuran-ukuran lebar perkakas dapur
Lebar perkakasan juga penting untuk anda ketahui untuk merancang layout dapur. Dengan mengetahui anggaran ukuran yang betul, anda boleh melakukan perancangan awal dengan lebih baik. Ukuran-ukuran lebar perkakas dapur boleh dikatakan agak standard. Bagaimanapun standard yang dimaksudkan bukan sekadar satu ukuran - peti sejuk misalnya mempunyai beberapa ukuran lebar yang standard. Lebar sinki pula lebih bebas.
Berikut adalah antara ukuran “standard” perkakasan yang biasa dipasang di dapur:-
  • Sinki stainless steel dua bowl: 36 inci
  • Sinki stainless steel satu bowl besar: 25 inci
  • Peti sejuk kecil: 24 inci
  • Peti sejuk sederhana: 27 inci
  • Peti sejuk besar: 35 inci
  • Ketuhar Elektrik bina-dalam: 23.5 inci
  • Ketuhar gelombang mikro bina-dalam: 23.5 inci
  • Hob dapur: 29 inci
  • Hood dapur (slim): 29 inci
  • Hood dapur normal: 35 inci
  • Rak pengering pinggan: 24/30 inci
  • Mesin basuh: 24 inci
Untuk ukuran perkakasan yang tepat, anda bolehlah menentukan terlebih dulu model dan jenama perkakasan yang ingin anda gunakan.
Petikan daripada Senihias.com

PERGOLA

PENGGUNAAN pergola makin mendapat perhatian yang mampu menampilkan keunikan laman. Jika anda bijak menyuai padan, ia dapat disesuaikan dengan apa jenis kediaman sekali pun, walaupun ruangnya terhad.

Pergola adalah para kayu yang dibina di laman untuk memayungi ruang pejalan kaki atau ruang depan atau belakang rumah dan boleh diperoleh dalam dua jenis iaitu bertutup atau terbuka. Nama pergola di ambil daripada bahasa Latin, Pergula yang merujuk kepada layar sengkuap dan kemudian dipinjamkan ke dalam bahasa Inggeris.

Dengan kata lain, pergola adalah binaan sementara yang biasa dibina di depan pintu rumah menuju ke taman depan kediaman. Dalam seni binaan barat, biasanya pergola dibina untuk depan pintu menuju ke kolam renang atau laman belakang atau kiri dan kanan rumah menjadi ruang berlindung daripada panas dan hujan.

Pergola menjadi struktur taman yang diminati masakini.Ketika di zaman Rennaissance, pergola tidak lagi menjadi binaan sementara kerana kebanyakan kediaman atau bangunan menjadikannya sebagai binaan kekal. Pergola dijadikan terowong hijau atau hiasan taman yang popular pada awal zaman itu. Pergola menjadi hiasan menarik untuk musim bunga dan panas.

Pergola moden kini dibina dengan kayu seperti cengal, jati dan kayu getah. Di negara ini, pergola biasanya dibina menggunakan kayu cengal kerana kukuh dan tahan lama. Bagi mencantikkan lagi pergola ada yang menghiasinya dengan tirai daripada kayu, buluh atau fabrik seperti kain sifon, satin dan kapas.

Tahukah anda, binaan pergola dari kayu turut bertindak sebagai `pelembut’ laman yang sarat dengan pokok hiasan dan pada masa sama, dapat mengubah pemandangan rumah. Ia boleh diibaratkan sebagai pelengkap laman.

Sebelum membina pergola, anda perlu tentukan keluasan laman terlebih dulu. Jika laman anda luas, lebih elok membina pergola sendiri bagi memastikan bersesuaian dengan cita rasa dan ukuran laman. Binaan pergola kecil dengan laman yang luas pasti membuatkan laman kelihatan pelik dan kurang menarik.
Pergola boleh digabungkan dengan anjung rumah atau berdiri sendiri menjadi titik tumpu untuk laman. Untuk ruang terhad lebih baik digabungkan dengan binaan lain di depan rumah supaya ia tidak memakan ruang yang ada.

Rekaan pergola dari batang kayu dilengkapi atap rumput juga boleh dijadikan pilihan.Selepas tentukan keluasan laman, anda perlu memilih kayu yang sesuai untuk pegola anda. Pilih pergola dari kayu bermutu tinggi seperti cengal kerana pendedahan kepada perubahan cuaca. Jika kayu tidak berkualiti, dikhuatiri anda terpaksa berbelanja lebih membaiki kerosakan pergola yang runtuh.

Kemudian, lihat kesesuaian laman anda dengan pergola yang bakal dipasang. Jika anda tinggal di rumah yang mempunyai ruang terhad seperti pangsapuri, anda perlu memilih pergola ringkas tanpa bumbung untuk mengelakkan ruang yang sempit nampak berserabut.

Hiasan untuk pergola jangan diabaikan. Anda boleh hias pergola mengikut selera dan konsep yang diinginkan dan seeloknya jangan biarkan pergola anda kosong tanpa sebarang hiasan. Jika anda inginkan gaya sederhana, boleh gunakan pokok gantung pada pergola anda.

Pergola akan kelihatan lebih hidup dengan pokok menjalar. Tapi pastikan pokok itu sentiasa dipangkas supaya laman kelihatan terurus dan selamat daripada binatang berbisa.

Pokok yang biasanya sesuai untuk pergola adalah Kembang Seri Pagi, Bunga Ketup-ketup, Akar Dani, Titus atau tumbuhan sayuran seperti timun, tomato, tembikai dan peria.

Reka letak pergola di laman juga penting untuk mewujudkan suasana redup di laman rumah dan pastikan arah cahaya matahari terlebih dulu sebelum pergola dibina. Ini penting untuk disesuaikan dengan reka letak pokok hiasan di sekeliling pergola.

Aliran angin juga perlu diambil kira. Jangan hias pergola terlalu sarat dengan hiasan atau pokok gantung kerana akan menghalang aliran angin sekali gus membuatkan suasana nyaman di bawah pergola bertukar hangat dan merimaskan.

Bahan lantai pergola seeloknya daripada bahan cerah seperti simen akan membuatkan halaman kelihatan panas, seelok-eloknya pilih warna terang yang tidak menyerap cahaya.

Fakta: Panduan memilih tanaman memanjat untuk pergola di laman
* Anda digalakkan memilih tanaman memanjat dengan daun dan bunga berwarna terang dalam usaha menceriakan laman dan secara langsung menampakkan ruang yang lebih luas.
* Pastikan struktur pergola sesuai supaya tidak mengganggu tumbesaran tumbuhan.
* Seeloknya beli tanaman memanjat yang ditanam dalam pasu kerana akarnya tidak banyak terganggu apabila ia dipindahkan ke tanah.
* Pastikan tanaman permukaan tanah dalam pasu tidak diliputi lumut atau akarnya terkeluar dari lubang saliran air pada bahagian bawah pasu.
* Memilih tanaman memanjat yang tidak cepat tumbesaran hingga menyebabkan ia merimbun dalam jangka pendek dan mungkin menjejaskan pemandangan atau perancangan konsep laman yang anda impikan selama ini.
* Aturkan jadual untuk menyelenggara termasuk kerja memangkas ranting pokok supaya ia tidak menjalar sehingga menyemakkan kediaman.