Tuesday, 12 April 2011

Tentang bilik air


Bilik air yang luas merupakan satu kemewahan.
Bilik air yang luas merupakan satu kemewahan.
Bilik air merupakan suatu ruang yang amat penting. Ia menyediakan kemudahan bagi seseorang membersihkan diri. Ia merupakan ruang peribadi dan perlu direka untuk keselesaan dan ketenangan. Sebagaimana ruang-ruang yang lain, rupabentuk bilik air berbeza selaras dengan kemampuan dan citarasa pemiliknya.
Biar bagaimana keadaannya, ia tetap suatu ruang yang memerlukan perancangan teliti lagi mendalam. Bagi keluarga yang besar, pastikan rumah anda mempunyai bilangan bilik air sepadan dengan bilangan orang yang mendiaminya bagi mengelakkan perbarisan panjang waktu pagi di samping mengurangkan kadar kerosakan.
Jika ruang bilik air anda cukup luas, pasang sekatan untuk ruang mandi dan tandas. Namun jika anda mempunyai ruang bilik air kecil, pastikan sekurang-kurangnya anda memiliki pancuran mandi, sinki membasuh, mangkuk tandas serta lain-lain kemudahan untuk menyimpan pelbagai keperluan pembersihan dan higenik anda.
Anda boleh menggunakan tab mandi jika mahu dan mempunyai ruang lebih. Jika dipasang ia akan menjadi titik tumpu dalam bilik air anda. Untuk menjadikannya menarik, kemaskan ia sejajar dengan senihias keseluruhan ruang berkenaan. Tab mandi dijual dengan bentuk dan saiz yang berbagai jadi tidaklah susah untuk mencari satu yang sesuai.
Lekapan dan lengkapan bilik air bukan murah dan tidak mudah dialihkan selepas ia selesai dipasang. Sebab itulah perancangan rapi perlu sebelum pemasangan dilakukan bagi mengelakkan keperluan pengubahsuaian yang sukar dan mahal. Bahan-bahan yang digunakan mestilah tahan lasak dan telap air.
Bagi menjaga hiasan dan menghalang resapan, permukaan sudut semua benda yang dipasang di bilik air perlu dikedap menggunakan produk kedapan yang sesuai. Sebagaimana bilik-bilik lain di dalam rumah, ruang penyimpanan adalah isu utama di bilik air.
Jika tidak disediakan secukupnya, produk-produk mandian dan pembersihan diri akan berselerakan di segenap penjuru. Oleh sebab itu rancang dan sediakanlah kemudahan tersebut sebaik-baiknya. Terdapat banyak pilihan bagi kemudahan penyimpanan di bilik air seperti kabinet, almari, rak dan sebagainya di dalam pasaran. Apa yang anda perlu buat adalah cari yang sesuai untuk kegunaan anda.
Cahaya dalam bilik air perlu menyeluruh tetapi tidak menyilaukan. Lampu dinding yang ringkas adalah sesuai dan memadai untuk keperluan pencahayaan di bilik air. Pastikan juga ia membantu dari aspek seni hiasan.
Semua pendawaian dan peralatan lampu serta lain-lain perkakasan elektrik di dalam bilik air mestilah dari produk yang berkualiti dan mendapat kelulusan pihak berkuasa. Kerja pemasangan juga perlu dipastikan kemas bagi mengelak kebocoran arus elektrik. Semua suiz mesti dipasang di sebelah luar demi keselamatan.
Jika anda menggunakan jubin sebagai lantai, penggunaan lapik lantai basah mungkin penting. Dengan jumlah air yang banyak di lantai, lapik lantai basah akan melenyapkan risiko licin dan ini adalah baik untuk keselamatan semua.

No comments:

Post a Comment