Monday 11 July 2011

BILIK TIDUR

Apabila bercakap mengenai dekorasi dalaman, Bilik Tidur merupakan satu-satunya bahagian didalam rumah dimana anda boleh menghasilkan sesuatu dekorasi yang istimewa kerana di bilik tidurlah bermulanya hari anda. Ia juga tempat untuk anda merehatkan diri dan menenangkan fikiran setelah seharian bekerja atau melakukan aktiviti harian anda. Oleh itu adalah penting untuk anda menghias dengan dekorasi yang santai didalam bilik tidur anda. Bilik tidur adalah ruangan yang peribadi, dan ini membolehkan anda mendekorasi bilik tidur anda lain dari bahagian rumah yang lain.
Disini terdapat beberapa Tips Ringkas yang boleh anda jadikan panduan untuk menghias bilik tidur anda.
Sesetengah orang suka mereka bentuk bilik tidur mereka mngikut tema musim. Warna musim sejuk atau warna musim luruh membuat hiasan bilik tidur yang indah, warna-warna musim bunga pasti boleh menerangi bilik tidur anda, dan warna musim panas juga boleh menambah sentuhan indah untuk hiasan bilik tidur anda. Tetapi bagi yang merasakan tidak mampu atau tidak mahu mempunyai 2-4 set bilik tidur untuk mengikut tema musim, anda boleh memilih warna atau tema yang menepati citarasa anda. Tetapi untuk menghias bilik tidur anda perlu bijak, warna Neutral adalah cadangan pertama saya. Menggunakan warna-warna seperti hitam, coklat, beiges, off-putih dan putih boleh digunakan sebagai satu bentuk hiasan bilik tidur anda. Pemilihan warna dinding, perabut, alas katil dan bantal serta langsir perlu dititik beratkan supaya tidak menjadikan bilik tidur anda kelihatan seperti warna rojak.
Banyak pengeluar menjual perabut bilik tidur dalam bentuk set seperti nightstands, rangka katil, almari pakaian atau dressers dan meja solek. Set bilik tidur ini merupakan asas untuk menghias bilik tidur anda kerana ia akan memberikan idea/gambaran keseluruhan dekorasi. Tetapi anda juga perlu berhati-hati dalam memilih bentuk dan warna set bilik tidur kerana set bilik tidur inilah menjadi tema dekorasi anda. Memilih set bilik tidur berwarna putih membantu memberi anda ruang untuk menentukan warna dinding bilik tidur kerana warna putih merupakan warna yang boleh dicampurkan dengan warna yang lain.

Tirai didalam bilik tidur anda memainkan peranan penting dalam memperlihatkan keseluruhan bilik tidur. Terdapat pelbagai jenis langsir boleh dipilih untuk hiasan bilik tidur anda. Dengan gaya dan warna yang betul serta reka bentuk yang ringkas dapat menyerlahkan hiasan di dalam bilik tidur anda. Untuk menimbulkan tema yang elegan, tirai sutera atau velvets dan baldu boleh digunakan.
Sarung tilam dan bantal juga merupakan element penting dalam proses untuk menghias bilik tidur anda. Pemilihan warna serta corak dapat mempengaruhi tema dekorasi anda. Sebagai contoh, untuk mendapatkan dekorasi yang elegan warna-warna plain dan mempunyai sedikit corak sesuai untuk digunakan pada sarung tilam dan bantal anda. Untuk menampakkan dekorasi tradisional, warna-warna seperti coklat dan bercorakkan vintage atau bunga-bunga krawang amatla sesuai. Tetapi jangan terlalu leka memilih warna atau corak sehingga mengabaikan jenis fabrik  kain sarung tilam dan bantal anda, kerana pemilihan jenis  fabrik kain yang salah akan membuatkan tidur anda tidak selesa. Disarankan gunalah sarung dari fabrik kapas (cotton) kerana fabrik ini dianggap sebagai salah satu fabrik yang terbaik untuk digunakan. Mempunyai ciri-ciri yang lembut, sejuk serta mempunyai serapan yang sempurna. Dan fabrik ini juga tahan lama. Pemilihan yang betul dapat membuatkan tidur anda lebih selesa.
Permaidani yang anda pilih untuk bilik tidur anda juga merupakan bahagian yang sangat penting untuk menampakkan rupa keseluruhan hiasan bilik tidur anda. Jika anda sering menukar hiasan bilik tidur anda, pilihlah warna permaidani yang lebih neutral.  Penggunaan permaidani dapat menimbulkan lagi dekorasi hiasan di dalam bilik tidur anda selain tugasnya untuk menutupi ruang lantai yang luas.
Cahaya lampu dapat mewujudkan suasana di dalam bilik tidur, jadi anda perlu berhati-berhati dalam memilih kedudukan lampu. Lampu yang mempunyai pencahayaan lembut dan malap adalah untuk menimbulkan suasana romantis, lampu pencahayaan yang terang adalah untuk ketika anda hendak menyalin pakaian atau mahu bersolek.

Untuk menambahkan lagi mood ketika berada didalam bilik tidur, beberapa keping bingkai gambar bolehlah diletakkan. Terpulang kepada anda untuk menentukan subjek gambar tersebut samada gambar-gambar abstrak, alam semulajadi, lukisan-lukisan atau anda boleh meletakkan gambar-gambar anda. Ini secara tidak langsung dapat menaikkan semangat anda ketika bangun daripada tidur. 
Jika anda mempunyai bilik tidur yang luas, anda boleh meletakkan meja kecil disisi katil atau sofa supaya bilik tidur anda kelihatan lebih eksklusif. Tetapi pastikan bilik tidur anda tidak kelihatan terlalu sempit. Sedikit jambangan bunga di atas meja solek atau diatas meja sisi katil serta jangan lupa letakkan aroma terapi yang menenangkan.
Sekarang anda sudah mempunyai sebuah bilik tidur yang elegan, eksklusif, tenang serta menepati citarasa anda. Pasti hari-hari anda akan bermula dengan senyuman dan berakhir dengan senyuman.
Untuk pasangan baru berkahwin atau yang sudah lama berkahwin, nak tahu tips-tips bagaimana untuk menimbulkan mood atau suasana romantis di dalam bilik tidur anda..??  :)

No comments:

Post a Comment