Sunday 10 July 2011

SOLID SURFACE

“Solid surface” merupakan antara ‘worktop’ kabinet dapur yang diminati ramai. Ini kerana rupanya yang kemas, bersih dan tahan. Jika anda inginkan permukaan yang berdayatahan dan mudah diselenggara atau dibersihkan, pilihlah ’solid surface’.
Solid surface adalah sejenis komposit yang diperbuat dari campuran resin dan batu. Kandungan batu di dalamnya menjadikan ia kukuh dan resin pula menjadikannya kedap cecair. Terdapat banyak pilihan warna dan ada juga solid surface yang mengandungi kuartza atau kaca yang kelihatan lebih berkilau. Solid surface yang mengandungi hanya resin lebih mudah dibentuk seperti melengkung, menegak, menjadi sinki dan sebagainya tetapi bagi yang mengandungi banyak kuartza tidak begitu fleksibel.
Secara umumnya solid surface boleh dipasang di semua jenis dapur. Sifatnya sebagai komposit menjadikannya ringan, sekurang-kurangnya lebih ringan dari worktop yang diperbuat dari batu seperti granit dan sebagainya. Bagaimanapun tentukan terdapat ruang yang cukup untuk membawa solid surface anda ke dalam kawasan pemasangan kerana ia perlu dibuat siap dari kilang dengan saiznya yang sebenar.
Kabinet rumah En. Nan di Seri Gombak ini mengunakan solid surface sebagai worktopnya.

Jika worktop anda ringkas, rata dengan kepanjangan yang boleh dipastikan, pembuat kabinet dapur anda boleh menempah terus saiz berkenaan dan memasangnya. Bagaimanapun jika ia perlu dipotong, disambung atau berbentuk luarbiasa, pembuat solid surface sendiri perlu dipanggil untuk melakukan kerja-kerja berkenaan. Biasanya mereka akan membuat acuan selaras dengan rekaan dapur yang dibina dan dari acuan berkenaan mereka akan membentuk solid surface yang tepat untuk pemasangan.
Sifat solid surface sebagai komposit menjadikan ia tidak telap air. Dan oleh kerana ia juga tidak bersambung-sambung, maka tidak ada celahan untuk bakteria bersembunyi atau membiak. Untuk membersihkannya anda hanya perlukan gunakan sabun dan air. Bagi permukaan yang calar anda boleh membaikinya dengan hanya menggosok kertas pasir halus.
Oleh kerana sifat-sifat solid surface yang diterangkan di atas, tidak hairanlah kosnya agak mahal. Ada juga worktop solid surface yang agak murah tetapi biasanya jika ia digunakan sebagai lapisan permukaan saja. Misalnya kepingan chipboard yang dilapisi sebelah atasnya dengan solid surface yang nipis. Apapun apa yang anda bayar itulah yang anda akan dapat. Mahal dan murah sesuatu produk tentulah ada sebab disebaliknya.
Kelebihan solid surface:-
  • Senang dipelihara. Permukaan calar boleh dibaiki dengan menggosok kertas pasir halus.
  • Tiada sambungan. Jika ada pun ia tidak akan kelihatan. Oleh itu ia senang dibersihkan dan tidak menyimpan bakteria.
  • Tahan haba yang tinggi sehingga 240 darjah C. (Walaupun begitu anda tetap dinasihatkan supaya menggunakan pelapik jika mahu meletakkan periuk panas di atas permukaan solid surface).
  • Boleh menghasilkan rekaan yang unik kerana ia boleh dibentuk secara khusus mengikut rekaan berkenaan.
Yang kontra mengenai solid surface:-
  • Kosnya mahal. Ia merupakan produk buatan kustom dan perlukan specialist untuk membuat serta memasangnya.
  • Oleh kerana ia memerlukan acuan dibuat mengikut rekaan sebenar di tapak dapur, maka ia masa yang diambil untuk menyiapkannya lebih panjang.
  • Kekurangan karakter. Solid surface adalah komposit. Oleh itu ia tidak secantik worktop yang dibuat dari batuan asli.
  • Variasi warna. Oleh kerana ia dibuat secara kustom kadangkala boleh berlaku variasi warna yang tidak sekata.

No comments:

Post a Comment