Friday 8 April 2011

GAYA HIDUP PENGARUHI CARA MENGHIAS

Mempunyai hiasan dalaman yang menarik bermula daripada mengenali dan memahami citarasa diri sendiri dan keluarga, di samping mengambil kira kehidupan masyarakat di sekeliling.  Di sini dipaparkan beberapa persoalan bagi membantu anda menilai dan memahami gaya hidup anda sekeluarga.  Jawab dengan jujur sekiranya mahu hasil yang memuaskan dan pastikan semua ahli keluarga mengambil bahagian bagi membantu anda menghias kediamam mengikut keperluan dan keinginan.


Jumlah Ahli Keluarga

Berapa ramai ahli keluarga mendiami rumah anda? Berapa orang dewasa dan kanak-kanak serta lingkungan usia mereka?  Apakah bilangan ahli keluarga anda akan bertambah?  Apakah ada di antara ahli keluarga anda akan meninggalkan rumah kerana belajar atau bekerja?  Adakah ibu bapa atau ahli keluarga yang lain selalu berkunjung?  Adakah antara mereka cacat atau memerlukan penjagaan yang rapi?  Sekiranya cucu anda datang melawat, apakah keperluan mereka? Bagaimana dengan binatang peliharaan, apakah ia tinggal dalam rumah, luar rumah atau bebas keluar masuk?  Jika binatang peliharaan suka tinggal di dalam rumah, apakah keperluan yang perlu disediakan?


Kedudukan Rumah dan Keluasan

Di mana anda tinggal - bandar, pinggir bandar atau pendalaman.  Apakah jenis kediaman anda - pangsapuri, kondominium, rumah teres satu/dua tingkat, rumah teres berkembar, atau banglo?  Adakah cuaca, kedudukan dan usia rumah mempengaruhi gaya hidup serta cara anda memanfaatkan ruang dalam rumah?  Apakah kediaman anda terdedah kepada cahaya panas, redup, bising, kesesakan lalu lintas dan dikelilingi jiran?  Adakah faktor ini mempengaruhi hiasan rumah anda?  Berapa lama anda merangcang untuk tinggal di situ atau kekal?  Adakah ruang anda mempunyai ruang secukupnya, selaras dengan pertambahan ahli keluarga?  Adakah anda menghias rumah semata-mata untuk kepuasan diri sendiri, mahu dilihat umum atau mahu memastikan nilainya tinggi apabila dijual?  Apakah ada bahagian struktur rumah yang kurang elok dan perlu diperbaiki?  Bagaimana dengan kemasan dan perhiasan rumah - perlukah diganti atau dikekalkan?  Lihat sekeliling bilik yang hendak disusun semula.  Catat bahagian yang menarik dan yang perlu diubah suai.


Kegiatan Keluarga

Bagaimanakah anda sekeluarga menghabiskan masa lapang bersama?  Apakah kegemaran ahli keluarga anda?  Di manakah anda sekeluarga sering menjamu selera?  Apakah yang anda lakukan apabila melihat kedudukan televisyen tidak menarik?  Apakah kegiatan bersama keluarga membangkitkan rasa bahagia atau bosan?  Adakah rumah anda menyediakan ruang keluarga yang ingin bersendirian?  Adakah bakat dan kegemaran keluarga anda diambil kira sewaktu menghias?  Bagaimana pula dengan himpunan perhiasan, piala kemenangan dan gambar kenangan anda serta keluarga?


Cara Melayan

Bagaimana cara anda melayan ahli keluarga dan tetamu - rasmi, santai atau separuh santai?  Adakah anda kerap merai tetamu/ahli keluarga dan di mana ia dilakukan - ruang tamu, ruang makan, ruang dapur atau di luar rumah?  Adakah jumlah tetamu yang dirai itu besar atau kecil?  Adakah menjamu secara hidangan atau berselerak?  Apakah jenis kelengkapan menghidang yang digunakan?  Adakah anda masak sendiri atau tempah?  Adakah anak anda sering mengajak teman-teman datang ke rumah?


Jadi ini adalah persoalan-persoalan yang perlu anda jawab sebelum anda mengimpikan suasana rumah yang lebih selesa dan teratur. 

No comments:

Post a Comment